Ada Perkara Yang Pantang Dibuat Gurau Dalam Rumah Tangga, Lain Nanti Jadinya!

Ada Perkara Yang Pantang Dibuat Gurau Dalam Rumah Tangga, Lain Nanti Jadinya! | Ada perkara memang tak boleh buat main-main dalam rumah tangga. Memang niat nak bergurau je. Tapi akhirnya timbul masalah lain pulak. Semua pasangan suami isteri mahukan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.

Namun dalam melalui kehidupan bersama, ada perbuatan yang sebenarnya sangat menyakitkan hati pasangan.

Perkara-perkara ini mungkin kita tidak sedar semasa bercinta atau tidak dipedulikan semasa dalam tempoh berbulan madu.

Berulang Kali Dilakukan, Hilang ‘Comel’!

Perkongsian kali ini khas untuk para isteri. Memang suami banyak kurangnya namun isteri juga banyak lemahnya. Bahkan, ada beberapa hal yang isteri kena ambil perhatian kalau tak mahu rumah tangga porak peranda.

Sudah tentu perkara ini kita lakukan secara tidak sengaja. Kecuali diberitahu, kadangkala kita tidak sedar perkara itu kita ulang berkali-kali. Pada mulanya perkara itu mungkin kelihatan comel tetapi kecomelan itu bukan untuk selama-lamanya.

Ia berpotensi bertukar daripada sesuatu yang comel kepada sesuatu yang mengancam ketahanan hubungan dengan pasangan kita. Dalam ruangan ini minggu ini kita akan lihat sebahagian daripada perkara-perkara yang nampak macam gurau tetapi sebaliknya ini.

Ada Yang Sengaja UJI Pasangan Dengan Gurau Yang Tidak Sesuai

Saya pernah dengar orang cakap, kita tidak akan tahu setahan mana pasangan kita sehingga diuji. Memang betul lah, tetapi jangan cari penyakit dengan mengujinya sendiri. Biarlah ujian itu datang secara semula jadi. Sebagai contoh suami kata;

Abang akan tetap setia hingga ke akhir hayat.”

Anda senyum dan kembang hati mendengarnya. Tapi dengan niat untuk bergurau dan menguji kata-kata itu, anda pun ber’skandal’ palsu dengan orang lain.

Perkara Pantang Anda terlupa satu perkara. Ada perkara boleh bergurau atau perkara boleh jadi pantang besar. Pada maruah seorang lelaki mengetahui isterinya berskandal dengan orang lain itu bukan satu ujian kesetiaan. Itu ujian ketegasan keputusan.

Ada Masalah MESTI Tanggung Bersama

Rumah tangga adalah tanggungjawab bersama. Jangan biasakan menyebut “Ini semua sebab abanglah…” sekiranya berlaku sesuatu masalah. Setelah melihat air mukanya berubah lalu cepat-cepat anda kata itu gurauan.

Mungkin maksud anda menggunakan perkataan tersebut hanya gurau tetapi pada pandangannya air muka dan bahasa badan anda tidak menunjukkan begitu. Kata-kata yang membawa maksud menyalahkan suami akan menyebabkan dia merasa gagal, terhina dan merobek egonya.

Lelaki selalu bertindak tidak siuman pada ketika egonya tercalar. Adalah lebih elok anda memilih ayat yang membawa maksud memikul tanggungjawab bersama. Ini  akan memberikan sokongan psikologi yang sangat suami perlukan untuk menghadapi masalah itu.

gurau

Merajuk Boleh, Tapi Janganlah Melampau Sangat!

Satu lagi ialah perangai suka merajuk. Memang kadangkala perangai merajuk ini nampak comel. Anda duduk diam di satu sudut, bila suami datang memujuk, anda juih muncung keluar lagi panjang. Konon tidak mahu bercakap tetapi mengharap suami akan terus memujuk lagi.

Sesekali bolehlah buat begitu tetapi tidak ada orang boleh sabar kalau anda buat begitu tiga atau empat kali setiap hari. Jika tidak percaya, cubalah!

Ada Harapan Masing-Masing

Setiap orang menerima orang lain dalam ikatan rumah tangga dengan harapan tertentu. Harapan untuk hidup lebih selesa, harapan untuk disayangi, harapan untuk itu dan ini. Namun begitu jangan kira harapan kita sahaja.

Pasangan kita juga mempunyai harapan tertentu kepada kita. Jangan kita meletakkan bebanan harapan itu kepadanya tetapi memberi alasan tidak dapat memberi balasan yang setimpal kerana sibuk dengan perkara lain.

Suami Tanya, Jawab Elok-elok

Apabila suami cuba bercakap-cakap dengan anda, cubalah untuk menjawab semula dengan jawapan berserta huraiannya. Jangan hanya jawab ‘tak nak’, ‘tak mahu’, ‘tak tahu’, ‘entah’ atau yang seumpamanya.

Anda mungkin pendiam atau pada ketika itu sakit gigi tetapi pada telinga suami jawapan-jawapan begini adalah jawapan malas dan tidak bersungguh. Yang lebih bahaya jika dia dengar jawapan anda itu seperti mencabar dirinya.

Jangan Bawa Perangai Bos Ke Rumah

Bagus sekiranya di pejabat pangkat anda besar dan orang lain terpaksa ikut semua kehendak anda. Namun jangan terbawa-bawa perangai itu di rumah. Tidak kira apa jawatan anda di pejabat, jawatan tetap dan tidak boleh pencen yang anda sandang di rumah ialah sebagai  isteri dan ibu.

Jika di rumah anda mahu segalanya ikut kehendak anda, tunggulah harinya suami atau anak-anak menunjukkan kebencian mereka.

Jangan Salah Guna Media Sosial

Kebahagiaan atau masalah rumah tangga adalah milik peribadi antara suami dan isteri itu. Sekarang seperti jadi budaya baru, saling bertukar ucapan cinta atau makian berapi di laman sosial.

Walau bagaimana bahagia atau bagaimana benci pun anda kepada pasangan, tidak ada orang yang perlu atau sibuk mahu tahu. Jagalah harga dirinya sebagai suami. Bayangkan jika dia membalas  dengan memalukan anda pula di laman yang sama. Malu pada anak-anak, keluarga sendiri dan keluarga mertua. Mana mahu letak muka, bukan?

Sumber: Dr. Syed Yusainee, Promind & Consultation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *