Setiap Harta Pusaka, Waris Berhak Ke Atasnya Walaupun Hanya Sebatang Pen.

Sebaik salah seorang ahli keluarga yang meninggal dunia, perkara pertama yang sering dibangkitkan adalah harta pusaka. Sama ada, suami meninggal mahu pun isteri, mesti ada ahli keluarga akan ‘berbunyi’.

Perkara yang sering diketengahkan tentutlah harta peninggalan untuk ahli keluarga yang tinggal. Untungnya, bila si mati meninggalkan waris. Bolehlah harta itu diberikan untuk waris keluarga bagi meneruskan hidup.

Namun, tak mustahil juga, ada waris tapi ahli keluarga si mati sanggup berebut. Walau bagaimanapun tidak semua ahli keluarga sanggup berbuat demikian. Kena ingat, kita ada undang-undang bagi menyelesaikan masalah ini, bila berlakunya perebutan harta.harta pusaka

Ikuti perkongsian daripada bapa tunggal ini dalam bercerita tentang harta pusaka. Ada benarnya, barang yang kita ada walau sekecil mana pun, ia akan menjadi harta pusaka bila kita meninggal dunia nanti.

Uruskan Harta Pusaka

“Apabila mati, barangan kita waima sebatang pen adalah menjadi harta pusaka. Dan dalam setiap harta pusaka itu ada waris yang berhak ke atasnya.”

Inilah ayat yang diberikan kepada saya ketika saya mula hendak mengagihkan barangan arwah isteri seperti pakaian, kasut, beg dan sebagainya. Ini bukan dari kata orang biasa namun dari orang yang berilmu dan pakar dalam urusan faraid dan harta pusaka.

Lalu saya hentikan dahulu niat tersebut.

Saya mula rujuk, saya bertanya dan saya dapat khidmat nasihat dari mereka yang pakar dan bertauliah.

Ye jawapannya sama.

Harta si mati walau sekecil barang adalah harta pusaka yang dalam setiap darinya ada waris yang berhak ke atasnya.

Wajib difaraidkan.

Mujur, harta arwah isteri warisnya hanya kami 4 beranak. Tiada orang lain yang layak kerana arwah sudah tiada mak dan ayah. Dan anak-anaknya semua lelaki maka semua hartanya dibahagikan ¼ antara kami berempat.

Pemegang Amanah

Harta yang bernilai besar telah diberikan mengikut arahan mahkamah. Namun harta yang kecil seperti pakaian, kasut, perhiasan, pinggan mangkuk semuanya saya bahagikan sendiri antara kami 4 beranak.

Sebagai ayah dan juga pemegang amanah, saya berkuasa menguruskan harta anak-anak saya.

Saya juga berbincang dengan anak-anak, yang sudah boleh memahami tentang barang arwah ibu mereka. Ada yang mereka ingin simpan, tak boleh diusik dan ada yang mereka benarkan untuk diberikan.

Lalu saya pilih barang-barang yang memberi manfaat seperti telekung, sejadah, kain-kain yang masih baru belum berjahit, kasut, perhiasan dan sebagainya saya hadiahkan kepada rakan-rakan arwah dan juga sanak saudara.

Selebihnya yang tinggal hanyalah barang di dalam bilik tidur. Barang-barang ini agak privasi dan sangat sentimental buat kami anak beranak. Kebanyakannya adalah pakaian harian arwah, sudah tidak cantik untuk diberikan kepada orang serta sedikit barang perhiasan (tiada emas) dan juga beg.

Jadi, barang-barang inilah yang saya masih kekalkan dalam keadaan asalnya agar dapat saya dan anak-anak dapat melihat dan mengenang dan mendapat kebahagiaan darinya.

Beri Manfaat

Begitulah.

Ada yang kata, barang arwah yang saya simpan, tidak digunakan, akan menjadi beban buat arwah kerana nanti semuanya akan dihisab. Tidak begitu, barang yang sudah menjadi harta pusaka sudah berpindah milik. Sudah tidak lagi dihisab penggunaanya ke atas arwah, namun dihisab ke atas warisnya. Berhati-hatilah.

Namun amat merugikan jika terus disimpan barangan yang boleh memberi manfaat dan jariah berpanjangan kepada arwah dan juga waris-warisnya. Ada barang yang jika disimpan lama ianya akan rosak, jadi dengan memberi atau menyedekahkan untuk diguna oleh orang lain adalah lebih baik.

Harta pusaka dan faraid ini ialah hukum Allah.

Tidaklah boleh kita memudahkan perkara ini walaupun nampak kecil hanya sebatang pen atau sebatang pin tudung. Semuanya ada waris yang berhak ke atasnya.

Jadi, bila ada harta si mati, maka panggilah semua para waris yang berhak ke atasnya dan duduklah berbincang. Jika ingin di ambil bahagiannya maka berikanlah, jika ingin dilepaskan maka bolehlah disedekahkan.

Kebajikan Anak-anak

Jangan sembrono mengambil atau mengedarkan barangan si mati dengan alasan untuk memberi manfaat atau pahala kepada si mati walhal waris-warisnya belum memberi kebenaran.

Terutamanya anak-anak kecil.

Kata ustaz, kata pakar, sebagai penjaga (ayah, ibu, atuk, nenek, pakcik dan sebagainya) atau pemegang amanah kita boleh menguruskan harta anak kecil tadi. Yelah anak kecil mana tahu apa-apa tentang segala harta, takkan nak simpan satu almari baju arwah ibu atau ayahnya kan?

Benar, namun penjaga atau pemegang amanah tadi haruslah bertanggungjawab memastikan kebajikan anak kecil tadi terjaga selari dengan harta yang diambil darinya dan diberikan kepada orang lain.

Harta pusaka adalah amanah yang berat.

Jenuh menjawab di akhirat nanti.

#superdaddy

Rujukan: Ustaz Mohd Khusairi Saleh- Pakar Faraid dan Harta Pusaka.

Sumber: Khairul Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *