Ketahui Tanda-Tanda Solat Kita Diterima Atau Tidak, Rugi Kalau Kita Abaikan.

Ketahui Tanda-Tanda Solat Kita Diterima Atau Tidak, Rugi Kalau Kita Abaikan. | Solat merupakan salah satu Rukun Islam yang perlu setiap orang Islam lakukan dengan solat fardu 5 kali setiap hari. Ia wajib dilakukan tanpa gagal kecuali bagi mereka yang dalam keuzuran seperti mana yang dibenarkan syarak.

Sering kali kita dengar bahawa solat itu adalah tiang agama. Dengan solat kehidupan seharian kita akan lebih aman, teratur dan diberkati oleh Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan waktu-waktu yang tertentu untuk didirikan pada waktu tersebut lima solat yang fardhu. Islam sangat menekankan tentang kepentingan mendirikan solat pada waktunya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisaa’: 103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 4:258)solat kita diterima

Allah SWT memerintahkan ketua keluarga memastikan bahawa sesiapa yang dibawah tanggungannya seperti isteri dan anak-anak supaya melaksanakan solat serta hendaklah tekun dan sabar dalam menunaikannya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

(Surah Toha: 132)

Imam al-Qurtubiy dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia merupakan perintah kepada Nabi Muhammad SAW dan juga kepada kepada semua umatnya supaya sabar dalam mendirikan solat dan memerintahkan ahli keluarga untuk melaksanakannya. Apabila turunnya ayat iniRasulullah SAW akan pergi ke rumah Saidina Ali dan Saidatina Fatimah pada setiap waktu Subuh untuk mengejutkan mereka bagi mendirikan solat. (Rujuk Tafsir al-Qurtubiy, 14:164)

 

Selain itu, Rasulullah SAW juga memerintahkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak mereka mendirikan solat. Rasulullah SAW mengajarkan supaya disuruh anak untuk mendirikan solat pada umurnya mencapai usia tujuh tahun dan memukulnya dengan pukulan yang tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran ketika anak tersebut berumur sepuluh tahun. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.

Hadith riwayat Abu Daud: (490)

Justeru itu, menjadi tanggungjawab keatas setiap daripada ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak mereka bagi mendirikan kesemua lima solat fardhu termasuklah solat Subuh yang mempunyai banyak kelebihannya.

Adakah Solat Kita Diterima?

Setiap umat Islam pasti mengharapkan agar ibadah yang dilakukan diterima sebaiknya oleh Allah SWT untuk mencari keredaan-Nya.

Walaupun kadangkala ibadah sudah dilakukan namun berapa pastikah anda bahawa ia diterima oleh ALLAH SWT? Setiap 5 waktu itu adakah solat kita diterima Allah?

Terdapat banyak sebab mengapa solat itu tidak diterima, antaranya tidak sempurna rukun dan pergerakan dalam solatnya.

Tapi bagaimana kita nak tahu solat kita diterima atau tidak?

Kami tertarik dengan perkongsian dilakukan oleh pendakwah Ustaz Mohd Fahmi Rusli. Beliau menjelaskan antara tanda ibadah berkenaan diterima apabila solat berkenaan mampu menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar.

Jelas beliau lagi, ALLAH SWT menyifatkan solat sebagai benteng yang menjadi penghalang kita daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai-NYA.

Ini kerana, dalam mensifatkan solat Allah S.W.T menyatakan :

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksudnya : Sesungguhnya solat menghalang kita dari melakukan perkara keji dan mungkar.

Surah Al-Ankabūt (45)

Manakala meninggalkan perkara keji dan mungkar adalah termasuk dalam ketakwaan.

Demikian Allah S.W.T menyatakan :

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Ustaz Mohd Fahmi menambah, ALLAH SWT turut menyatakan perihal amalan orang yang bertakwa menerusi kalam-NYA.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27)

“Maka, gabungan dua ayat ini menatijahkan kenyataan: ‘Antara tanda solat kita diterima adalah saat ia menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar’ di atas,” katanya.

Di dalam kitab al-Targhib wa Tarhib, Zakiyuddin al-Mundziri ada menjelaskan tentang sebuah hadis qudsi berkaitan tanda-tanda yang mengisyaratkan solat seorang hamba diterima oleh-NYA.

Antara tanda solat kita diterima adalah:

1. ALLAH SWT menerima solat seseorang yang tawaduk ketika menunaikan ibadah itu di hadapan kebesaran-NYA. Sifat tawaduk itulah akan memunculkan kekhusyukan dalam solat seseorang berkenaan.

2. Orang yang tidak menyombongkan diri, ini adalah tanda solat kita diterima Allah yang kita sendiri boleh merasai betapa kerdilnya diri kita ini di dunia.

3. Orang yang tidak terus-menerus berada dalam kemaksiatan. Seandainya kita cukup solat 5 waktu tetapi masih memandang rendah soal dosa dalam kehidupan harian maka kita sudah tahu sama ada solat kita diterima atau tidak.

4. Orang yang menggunakan waktu siang untuk terus mengingati ALLAH SWT dan merasakan ALLAH selalu berada dekat dalam hidupnya. Bahkan, dirinya selalu merasakan ALLAH sentiasa memerhati setiap inci gerak-gerinya.

5. Mereka yang cintakan kepada fakir miskin, ibnu sabil (orang yang bermusafir) dan mengambil berat mereka yang ditimpa musibah.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *