Urusan Jual Beli Dengan Mengambil Deposit, Mufti WP Perjelaskan Hukum Yang Kita Perlu Tahu

Urusan Jual Beli Dengan Mengambil Deposit, Mufti WP Perjelaskan Hukum Yang Kita Perlu Tahu | Urusan perniagaan perlu dilakukan dengan teliti untuk memastikan keadilan bagi semua pihak yang terlibat sama ada pembeli atau penjual.

Urusan jual beli yang melibatkan dua atau ramai pihak sememangnya mempunyai risiko bukan setakat kepada pembeli tetapi juga pihak penjual. Risiko dari segi barangan yang dibeli tidak seperti yang diharapkan biasanya kerap berlaku.

Manakala urusan jual beli yang melibatkan pengambilan deposit tetapi barang tidak dapat ke tangan pembeli menyebabkan ada pihak yang masih untung dan sebelah pihak lagi mengalami kerugian.

Justeru, para ilmuwan telah mengkaji secara terperinci bagi mengeluarkan sesuatu penjelasan ataupun hukum mengenai sebarang kemusykilan ketika melakukan urusniaga.

Baru-baru ini, Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi penjelasan di sebalik hukum-hakam menjalankan urusan pembelian melalui deposit ataupun urbun.

Adakah penjual berhak ke atas wang deposit atau ia perlu dikembalikan jika pembelian dibatalkan?

Bagi mengetahui hukum urusan jual beli dengan mengambil deposit dari sudut pandangan Islam, baca penjelasan di bawah.

urusan jual beli

SOALAN:

Saya merupakan salah seorang broker tanah. Baru-baru ini, saya telah mengambil sebahagian daripada wang pembelian/deposit sebidang tanah, kemudian dia tidak meneruskan pembelian tersebut. Jadi, bagaimanakah dengan kedudukan duit pendahuluan tersebut? Adakah saya boleh mengambilnya.

JAWAPAN:

Isu ini berkaitan dengan hukum-hakam tentang jual-beli Urbun. Sebelum dibincangkan dengan lanjut tentang permasalahan ini dibentangkan terlebih dahulu pengertian berkenaan jual beli urbun.

Perkataan urbun adalah perkataan asing kemudian dipakai oleh bangsa Arab. Ia merujuk kepada sesuatu yang mengikat akad jual beli. Fuqaha mengambil perkataan ini untuk digunakan dalam perundangan dengan memberi pengertian yang khusus iaitu seseorang yang ingin membeli sesuatu dan menyerahkan wang pendahuluan dua dirham atau lebih dengan perhitungan jika dia meneruskan akad jual beli itu, maka wang pendahuluan itu menjadi sebahagian daripada harga barang dan jika tidak meneruskan jual belinya itu maka wang pendahuluan itu menjadi hak penjual.

Para fuqaha telah berbeza pandangan tentang jual beli urbun. Hal ini boleh dilihat dengan lebih lanjut seperti yang berikut:

1. Jumhur fuqaha yang terdiri daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpandangan jual beli ini tidak sah kerana terdapat hadis yang melarang jual beli seumpama ini. Ia adalah satu cara makan harta secara batil da nada unsur gharar di dalamnya. Terdapat dalam satu hadis Rasulullah SAW:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْعُرْبَانِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang jual beli secara Urbun.

2. Mazhab Hanbali pula mengharuskan urusan jual beli seumpama ini. Namun perlu ditentukan batasan tempoh khiyar (tempoh pembelian) kepada pembeli. Ini kerana ia bagi mengelakkan kerugian yang ditanggung oleh pihak penjual ketika urusan jual beli.

3. Namun, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh (3/120), urusan jual beli secara urbun adalah diharuskan berdasarkan kepada uuruf semasa. Selain itu, hadis yang melarang urusan jual beli ini juga adalah tidak sahih.

Melihat kepada senario masyarakat Islam pada hari ini, urusan jual beli secara urbun ini dilihat sudah menjadi keperluan dan uruf kepada masyarakat khususnya di zaman sekarang ini sebagai tanda atau bentuk komitmen dalam melakukan perjanjian urusan jual beli. Ia bertujuan bagi mengelakkan kerugian bagi pihak-pihak yang bertransaksi dan sudah tentu menyusahkan masyarakat.

Oleh itu, kami berpandangan urusan jual beli seperti ini diharuskan berdasarkan kepada syarat-syarat berikut:

  1. Objek barang hendaklah jelas dan sesuatu yang diharuskan syarak.
  2. Tempoh masa (bagi tujuan pembelian sepenuhnya) diberikan secara jelas, agar terhindar dari unsur gharar. Misalnya jangka masa 1 hari, 2 hari, atau 3 hari, yang disepakati oleh kedua belah pihak yang berakad.
  3. Wang pendahuluan sebagai tanda jadi atau tanda komitmen harus berdasarkan kesepakatan.
  4. Wang pendahuluan yang akan menjadi milik penjual, ketika pembeli tidak jadi membeli barangnya merupakan wang ganti rugi (ta’widh), atas kerugian yang ditanggung oleh penjual. Namun, jika masih terdapat lebihan wang pendahuluan daripada kerugian sebenar penjual, maka ia hendaklah dipulangkan kepada pembeli.

Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *